Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas hadir pada Perasmian Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 anjuran Parti Amanah Shah Alam di Stadium Rhino KV Arena, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Mesyuarat jemaah menteri pada bulan lalu menetapkan bahawa tidak ada tempoh masa bagi kerajaan untuk menghentikan penanggungan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution berkata, mesyuarat itu meminta supaya proses memberikan penerangan diperingkatkan untuk mempersiapkan rakyat.

Langkah itu bagi membolehkan rakyat melihat dan menerima bahawa program PSP adalah untuk meningkatkan kecekapan subsidi kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Jemaah menteri melihat ada kewajaran untuk dibuat penangguhan.

“Keputusan itu adalah bersifat open ended maknanya penangguhan itu tidak mengikat sampai satu tempoh. Namun persiapan kearah pelaksanaan itu diminta untuk terus dipikul oleh KPDNHEP dan MOF,” katanya kepada media selepas menghadiri Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad, di Stadium Rhino KV, hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Mengulas lanjut, penangguhan itu adalah bagi memastikan golongan M40 yang turut mendaftar bagi program itu akan turut menerima insentif sama seperti golongan sasaran B40.

Ia berdasarkan kepada satu pertemuan antara Menteri Kewangan, Lin Guan Eng, pada awal Januari.

“Pada mesyuarat tersebut MOF memaklumkan bahawa pendaftaran kategori M40 akan hanya dibuat pada akhir suku pertama tahun ini atau awal suku kedua.

“Ketika ini penerima B40 telah lengkap datanya, dan oleh kerana M40 baru dimaklumkan pendaftarannya dalam Bajet 2020 lalu, ketika B40 sudah sedia, M40 baru dalam proses pendaftaran. Jadi ada kewajaran untuk pelaksanaan itu nanti disekalikan.

Penghujung Disember tahun lalu, KPNDHEP mengumumkan PSP yang sepatutnya dimulakan Januari ini ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan untuk menangguhkan program itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu bagi memberi ruang terhadap penyelesaian dua perkara utama yang kini giat dilaksanakan kerajaan.

Antaranya merangkumi sesi penerangan dan penjelasan yang masih diteruskan kepada rakyat bagi memastikan kefahaman sewajarnya mengenai PSP berupaya diperoleh, sekali gus melancarkan mekanisme pelaksanaan program terbabit. -MalaysiaGazette