Latheefa Koya (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (kiri) dan Pengarah Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin (kanan) semasa memperdengarkan rakaman audio perbualan membabitkan Datuk Seri Najib Razak pada sidang media khas Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Latheefa Koya mendakwa seorang peguam menjadi dalang bagi mencalar reputasinya berikutan pendedahan mengenai sembilan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi baru-baru ini.

Menurut Latheefa, satu komplot jenayah telah dimulakan untuk mereka dan mengedar material yang bertujuan untuk merosakkan reputasi beliau.

“Kami percaya seorang peguam diantara lain yang terlibat menjadi dalang disebalik komplot ini,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan pendedahan yang dilakukan paad 8 Januari lalu, polis akan memanggil Latheefa untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan tentang pendedahan sembilan rakaman audio yang beliau dedahkan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah menerima kesemua rakaman audio yang itu dan akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk kesahihan rakaman tersebut, daripada ia diperolehi dan individu yang memberikannya kepada SPRM.

Pada Rabu lalu, Latheefa memperdengarkan kepada media sembilan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi melibatkan tujuh individu termasuk Datuk Seri Najib Razak dan isteri serta dua pemimpin daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah demi kepentingan umum.

Latheefa berkata, pegawai khas beliau akan membuat satu laporan polis awal pagi esok dan akan menyerahkan bukti kepada pihak polis.

Menurut Latheefa, beliau tidak tergugat atau terancam untuk melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. – MalaysiaGazette

Polis akan panggil Latheefa Koya beri keterangan – KPN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast