Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan tentang pendedahan sembilan rakaman audio yang beliau dedahkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah menerima kesemua rakaman audio yang itu dan akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk kesahihan rakaman tersebut, daripada ia diperolehi dan individu yang memberikannya kepada SPRM.

“Sudah terima rakaman audio, kita akan jalankan siasatan semua sudut daripada mana audio diperolehi SPRM, dari mana diperolehi lepas itu, kandungannya adakah tulen atau tidak.

“Beliau, Latheefa akan diminta memberi kenyataan ada beberapa soalan perlu dijawab,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada Rabu lalu, Latheefa berkata, pendedahan sembilan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi melibatkan tujuh individu termasuk Datuk Seri Najib Razak dan isteri serta dua pemimpin daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah demi kepentingan umum.

Katanya, rakaman tersebut melibatkan perlakuan salah guna kuasa, pecah amanah, tindakan memalsukan dokumen, pendedahan maklumat sulit, ancaman keselamatan negara, konspirasi jenayah, justeru ia perlu didedahkan kepada media seterusnya rakyat tahu mengenainya.

Polis, ujar Abdul Hamid, akan menyiasat kes tersebut di bawah beberapa Seksyen 203A Kanun Keseksaan, berhubung penjawat awam mendedahkan siasatan rasmi kepada pihak yang tidak sepatutnya,

Selain itu kes tersebut juga akan disiasat di bawah  Seksyen 218 Kanun Keseksaan atau Seksyen 8 Akta Kerahsiaan .

Mengulas mengenai keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa mana-mana pihak berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, Abdul Hamid berkata, kes tersebut tidak ditutup sehingga ada bukti baharu.

Pada Khamis lalu, Tan Sri Tommy Thomas berkata, setelah menyemak keterangan yang dikumpulkan dan dikemukakan oleh polis kepada jabatannya, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung isu video itu. – MalaysiaGazette

Pendedahan 9 rakaman audio konspirasi demi kepentingan umum – Latheefa