HULU SELANGOR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu akan menunggu laporan penuh daripada pihak polis berhubung siasatan terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan ekoran terlibat dengan dadah.

Justeru itu, Bersatu berpandangan tindakan berat terhadap ahli parti itu akan diambil jika terbukti mereka bersalah dalam sesuatu kes jenayah.

“Saya dengar cerita sahaja, tidak tahu apa sebenarnya.

“Kita kena tunggu maklumat penuh daripada polis dan akan putuskan apa yang akan berlaku kerana kita berpegang kepada rule of law, jika sesiapa yang langgar undang-undang, termasuk saya, saya akan dimasukkan ke penjara,” katanya dalam sidang media sempena lawatan beliau ke Depot DMIA Serendah, hari ini.