Logo E-Tunai Rakyat Grab pada sidang media Majlis Perasmian Insiatif e-Tunai Rakyat di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 14 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada kerajaan menerusi program e-Tunai Rakyat yang akan bermula esok.

Program berkenaan merupakan kerjasama daripada tiga pengendali e-dompet terbesar di negara ini melalui peruntukan sebanyak RM450 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan perkara itu berkata, mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima sebanyak RM30 melalui salah satu daripada tiga pengendali e-dompet yang terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch n Go.

“Program e-Tunai Rakyat ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019.

“Semua penerima boleh memilih salah satu daripada tiga pengendali e-dompet untuk menerima wang percuma RM30 daripada kerajaan.

“RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali yang terpilih,” katanya pada sidang media pengumuman tersebut di kementeriannya di sini hari ini.

Guan Eng berkata, inisiatif e-Tunai Rakyat itu dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga terutamanya di sektor runcit.

Katanya, ia juga sebagai langkah menuju kepada masyarakat tanpa tunai dan penggunaan pembayaran di atas pembelian secara digital boleh memupuk ketelusan dan juga akauntabiliti.

Tambah Guan Eng, ia juga dengan dapat mengurangkan penyalahgunaan, penyelewengan sekaligus membanteras amalan rasuah.

“Jika membayar dalam bentuk digital semua tercatit dalam rekod atas talian ataupun komputer,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.