Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr. Hasnita Hashim.

KUALA LUMPUR – Akta penubuhan badan berkanun yang tidak pernah disemak lebih 50 tahun menjadi punca amalan tadbir di agensi-agensi berkenaan terhakis.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr. Hasnita Hashim berkata, kerosakan dalam amalan tadbir urus badan berkanun berlaku apabila ia mula terlibat dalam perniagaan terutama dalam bidang yang bukan menjadi kebiasaan agensi-agensi terbabit.

Anak-anak syarikat yang dibentuk pula mempunyai lembaga pengarah sendiri dan bebas membuat keputusan.

Keadaan menjadi buruk apabila institusi utama terlepas pandangan dan hilang kawalan kepada anak-anak syarikatnya.

“Bagaimana ini boleh berlaku? Mewujudkan banyak anak syarikat  tetapi tidak mentadbirnya sedangkan, perkara itu adalah kritikal tetapi ia tidak berlaku seperti apa yang sepatutnya,” katanya dalam Forum Integriti Bank Rakyat 2020 hari ini.

Sepatutnya, tegas Hasnita, institusi utama perlu ada kawalan dalaman, pemprosesan, memantau memorandum dan artikel dan perkara-perkara berhubung pemegang taruh dalam anak-anak syarikatnya.

Bagaimanapun perkara-perkara asas itu tidak dilaksanakan dan ia menyebabkan amalan tadbir urus dalam badan berkanun merosot dan terhakis.

Jelasnya, situasi itu berbeza dengan akta syarikat yang kerap kali disemak semula untuk memastikan tadbir urus syarikat dipatuhi.

Bagaimanapun, pandangan itu tidak dinyatakan Hasnita sama ada ia ada kaitan dengan MARA yang diterajuinya itu.

MARA menjadi perhatian baru-baru ini apabila agensi itu dikatakan akan menutup MARA Corporation – entiti perniagaannya dan menumpukan kepada pendidikan dan latihan.

Cadangan itu didakwa telah dikemukakan melalui surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menurut sebuah portal.

Kandungan surat itu, Hasnita dikatakan menjelaskan MARA diwujudkan bukan untuk melabur dalam perniagaan dan ia tidak pernah mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, MARA menggunakan dana yang dikumpulkan daripada pinjaman pelajar dan perniagaan untuk melabur dalam perniagaan, sesuatu yang tidak wajar untuk dilakukan. -MalaysiaGazette