Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

PUTRAJAYA- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya memberi pandangan mengenai etika seorang Muslim untuk menghadiri sambutan perayaan Ponggal kerana diminta oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa, JAKIM tidak pernah mengharamkan mana-mana perayaan cuma seseorang Muslim mempunyai etika yang perlu dipatuhi mengikut landasan agama Islam ketika meraikan atau menghormati perayaan agama lain.

“Sebagai seorang Islam, kita terikat dengan etika ketika menghadiri majlis penganut lain sama ada ianya bersifat ritual atau tidak.

“Ini perkara biasa tetapi apa yang penting mengapa KPM tidak menulis surat pekeliling tersebut dengan jelas?

“Tiba-tiba timbul masalah dan JAKIM dipersalahkan sedangkan kami hanya memberikan pandangan mengikut kepakaran kami dan ianya hanya untuk kegunaan pihak terbabit sahaja iaitu ibu bapa dan guru yang beragama Islam.

“Tidak timbul soal kami mengharamkan pesta Ponggal,” tegasnya semasa sidang media selepas menerima cek berjumlah RM100 juta daripada Kementerian Kewangan untuk kegunaan sekolah agama, sekolah tahfiz dan sekolah pondok di sini hari ini.

Tambah Mujahid, punca kekeliruan itu timbul adalah disebabkan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM.

“Kami menyerahkan kepada KPM dengan cara terbaik supaya mereka boleh memberi penjelasan kepada orang ramai atau yang lebih tepat adalah pihak yang terlibat iaitu orang Islam dan bukannya Cina atau India,” katanya lagi.

Semalam, sepucuk surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020 telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak kerana kementerian tersebut diatas nasihat JAKIM telah mengharamkan murid Islam menghadiri Pesta Ponggal.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Kementerian Pendidikan tidak pernah halang perayaan Ponggal di sekolah