Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan malawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersempena sambutan Ulangtahun Ke-70 TNB di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap akan meneruskan Program Sarapan Pagi (PSP) seperti yang dijadualkan bermula pada Isnin ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaklumkan perkara itu berkata, bagaimanapun ia hanya akan dikhususkan kepada pelajar yang tidak berkemampuan saja.

“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah pun dapat juga. Itu tidak adil.

“Kita akan berikan (PSP) kepada mereka yang layak,” katanya yang kini memangku jawatan Menteri Pendidikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ulang Tahun Ke-70 TNB di sini, hari ini.

Artikel berkaitan: Sarapan percuma murid sekolah rendah mulai tahun depan

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang merekodkan jumlah pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tertinggi.

PSP merupakan program yang diperkenal oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan sebelum melepaskannya 2 Januari lalu.

Dr Mahathir memangku jawatan tersebut berkuat kuasa 3 Januari lalu sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik.

Sebelum ini Maszlee berkata, PSP untuk murid sekolah rendah itu dilaksanakan menerusi dua mekanisme membabitkan peruntukan antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion.

Katanya, dua mekanisme itu adalah pelaksanaan PSP selama 30 minit bagi kombinasi makanan bermasak dan buah-buahan serta 10 minit bagi produk minuman tenusu, bijirin, roti dan telur rebus.

Waktu pemberian sarapan adalah sebelum pukul 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan sebelum pukul 4 petang bagi sesi petang selain dijadualkan secara berperingkat mengikut kesesuaian sekolah.

Guru yang bertugas dalam tempoh PSP turut diberikan sarapan percuma supaya dapat makan bersama murid. – MalaysiaGazette