Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

KUCHING – Badan kehakiman sedang mengkaji semula struktur bayaran khidmat bantuan guaman untuk peguam yang ditugaskan oleh mahkamah bagi menarik lebih ramai peguam kanan mewakili tertuduh yang kurang berkemampuan mendapatkan khidmat guaman dalam kes jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata, bantuan guaman dan kewangan agak rumit kerana melibatkan dasar eksekutif dan perundangan sementara badan kehakiman tidak dapat berbuat banyak untuk mengurangkan isu itu.

“Walaupun akses kepada keadilan adalah penting, peguam juga perlu diberi ganjaran secukupnya untuk masa dan sumber mereka. Pada masa ini, kami tidak mempunyai ramai peguam kanan yang menawarkan bantuan guaman atau kes-kes yang ditugaskan.

“Jadi, sekiranya, hasil kajian semula ini dapat dilaksanakan, maka ia akan memberi insentif yang lebih baik kepada peguam kanan membantu dalam kes jenayah,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Kolokium Kebangsaan Mengenai Akses Kepada Keadilan 2020, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi aspek penting di mana mahkamah boleh memudahkan akses kepada keadilan ialah dengan mengurangkan kos mahkamah dan ada keperluan penting untuk mencapai keseimbangan dalam aspek ini.

“Yuran mahkamah yang berlebihan adalah salah satu aspek penting dalam mana-mana perbincangan mengenai akses kepada keadilan,” katanya.

“Hasil daripada yuran mahkamah membolehkan badan kehakiman menyumbang kepada pendapatan negara manakala kuasa am kos mungkin digunakan untuk menghukum saman atau permohonan yang sia-sia. Tetapi dari aspek lain, terdapat keperluan mendesak mengurangkan kos yang menyekat tuntutan dan litigan yang betul,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, Tengku Maimun berkata, penubuhan mahkamah baharu tidak semestinya mengurangkan batasan logistik untuk membawa keadilan kepada komuniti pedalaman dan terpencil di negeri-negeri besar seperti Sabah dan Sarawak.

“Oleh sebab itu, badan kehakiman bercadang meneruskan program Mahkamah Bergerak dengan lebih giat. Keterpencilan bukan hanya diukur dengan jarak tetapi juga dari segi kewangan.

“Ke arah ini, program Mahkamah Bergerak akan diperluaskan dengan merangkumi golongan miskin bandar, Sekiranya, seseorang tidak dapat mengakses kepada perundangan, mahkamah akan melakukan usaha aktif untuk mendekati mereka,” katanya. – Bernama