Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KIMANIS – Kurang 24 jam sebelum hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menjangka peluang mereka untuk mempertahankan kubu kuatnya itu kini mencecah sebanyak 55 peratus.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun akur pertandingan kali ini agak sengit memandangkan calon BN, Datuk Mohamad Alamin terpaksa berdepan calon daripada parti pemerintah namun segala kemungkinan boleh berlaku.

“PRK pertandingan sengit kerana mereka kerajaan, mereka gunakan pelbagai cara, kaedah ugutan, sogokan, jadi kalau kita tengok hampir semua rumah ada bendera Warisan.

“Kaedah mereka cara nak beri sumbangan ialah dengan syarat setiap rumah kena ada tampalan pelekat Warisan,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabang hari ini.

Asyraf mendakwa, hampir kesemua rumah di dalam Parlimen Kimanis ditampal dengan pelekat Warisan dan ia adalah kaedah untuk membeli undi.

“Hampir semua rumah di sini membenarkan rumah mereka ditampal, sebab itu kita menggunakan kaedah, apa saja mereka tawarkan, kita kena ambil kerana itu adalah hak mereka.

“Hak mereka yang diambil lantaran diperkenalkan cukai, diambil daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), diambil daripada segala subsidi yang telah ditolak, segala bantuan yang telah dimansuhkan.

“Jadi ini hak rakyat, yang penting mereka gunakan kebjiaksaan untuk mengundi dengan memangkah timbangan (dacing),” katanya.

Ditanya tentang politik wang membabitkan calon Warisan, Asyraf bagaimanapun mengakui bahawa agak sukar pihaknya untuk mendapatkan bukti pembelian undi itu wujud melainkan penerima melaporkannya sendiri.

“Bukan mudah untuk buktikan politik wang, laporan polis kita mula buat hari ini, sebab yang menerimanya ada, tapi bukan mudah. Kaedah mereka gunakan begitu licik, yang penting kita berharap pengundi guna kebijaksaan mereka.

“Apa yang mereka katakan kepada kami, bila kami turun ke kawasan, pemuda-pemuda turun ke semua PDM, mereka kata luar putih, dalam biru.

“Itu sudah jadi mentera dan kita harapkan mentera ini betul-betul diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari esok,” katanya.

Asyraf turut mendakwa, jentera Warisan cuba mengambil kesempatan ke atas masalah penggangguran golongan anak muda di Parlimen Kimanis khususnya kawasan-kawasan kampung dengan menawarkan politik wang.

“Kalau kita tengok di Kimanis, kadar penggangurannya tinggi, hampir semua kampung, anak-anak mudanya tidak ada pekerjaan.

“Sebab itu pihak Warisan lebih mudah menggunakan pendekatan sogokan, tapi mereka tak sebodoh yang dijangkakan dan saya percaya orang-orang muda pada kali ini akan memberikan satu gelombang yang positif untuk kemenangan BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette