Hazani Ghazali

KOTA KINABALU – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom), Datuk Hazani Ghazali hari ini mengesahkan lima nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu, Khamis lepas.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku antara pukul 9.00 dan 10 malam, apabila lapan lelaki yang menaiki sebuah kapal nelayan keluar menangkap ikan di perairan berkenaan sebelum lima daripada mereka dipercayai diculik.

“Pihak ESSCom sedang menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada tiga nelayan yang selamat itu,” katanya ketika dihubungi, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Semalam, Bernama melaporkan, lapan nelayan dipercayai hilang di perairan Tambisan, Tungku, dekat Lahad Datu.

Kapal nelayan yang berdaftar di Sandakan dikatakan ditemui tanpa anak kapal di perairan Tangusu Bay pada 12.40 tengah hari, Jumaat.

Difahamkan, lokasi kapal itu ditemui berhampiran dengan lokasi kejadian culik yang berlaku sebelum ini. – Bernama