etiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd. Nadzri.

KUALA LUMPUR – Rakan-rakan kongsi Liga Malaysia menyatakan rasa teruja dan sudah bersedia untuk mengharungi musim
baharu selepas menerima Taklimat Liga Malaysia 2020 yang berlangsung baru-baru ini.

Wakil-wakil pasukan itu menzahirkan rasa terima kasih atas inisiatif MFL menganjurkan sesi taklimat untuk semua pasukan mendapat lebih pemahaman dalam menguruskan perancangan dan operasi pasukan.

Antaranya Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd. Nadzri yang berharap akan ada sentiasa perhubungan dua hala antara MFL dan rakan-rakan kongsi liga menghadapi musim 2020.

Dalam masa sama, beliau juga berharap MFL boleh membantu setiap pasukan yang bertanding punyai nilai pemasaran tersendiri dalam menarik penaja bagi menjana kewangan ke arah lebih mampan.

“Bagi saya taklimat rutin secara tahunan ini bagus kepada tiap pasukan dan saya berharap MFL selepas ini boleh bantu kami dalam harungi sepanjang musim.

“MFL juga sentiasa membantu tiap pasukan dengan boleh merujuk kepada mereka jika ada sebarang masalah dan jika mahu percepatkan, mereka juga boleh beri sebarang salinan terhadap apa yang disampaikan bagi mudahkan kami.

“Selain itu, cadangan saya MFL dapat menggunakan pasukan-pasukan ini sebagai bahan pemasaran malah kami semua tidak berdepan masalah beri kerjasama kerana sudah sampai masanya kita semua kena bergerak selaku organisasi perniagaan bagi memberikan manfaat kepada semua agar boleh berkongsi hasil, ” katanya.

Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie pula tidak mahu semua pasukan bersikap ambil mudah dan sentiasa serius terhadap sebarang kursus atau taklimat yang ditawarkan oleh MFL.

Tambahnya, MFL selaku badan penganjur liga sentiasa peka akan sebarang perubahan membabitkan peraturan di peringkat global ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan setiap pasukan perlu sedia akan sebarang perubahan pada saban musim.

“Saya rasa taklimat seperti ini amat berguna kepada pasukan-pasukan kerana mungkin ada maklumat-maklumat terkini atau undang-undang terbaharu daripada FIFA yang boleh dikongsikan kepada semua.

“Malah, taklimat seperti ini berikan peringatan kepada semua kerana kadang-kadang kita lupa dengan peraturan atau syarat sedia ada, jadi taklimat seperti ini kena buat selalu.

“Di pihak UKM, kami rasa cukup teruja untuk hadapi musim baharu kerana kemungkinan kali pertama dapat beraksi di laman sendiri di Stadium UKM pada saingan Liga Premier.

“Sudah tentu sokongan daripada pegawai dan pelajar UKM amat ditagih bagi memastikan pemain lebih bersemangat pada tiap perlawanan, ” katanya. – MalaysiaGazette