PPerdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar (tiga kiri) melihat persekitaran loji pada lawatan ke tapak rintis sistem ‘Advanced Moving Bed Bio-Reactor’ di Loji Rawatan Kumbahan, Pantai Tengah, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

LANGKAWI – Meskipun PLUS Malaysia Berhad dikehendaki mengurangkan caj sebanyak 18 peratus tetapi syarikat konsesi itu masih mempunyai dana mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dengan pengurangan caj tol lebuh raya itu mulai 1 Februari ini akan meningkatkan jumlah penggunanya.

“PLUS beri pengakuan dengan dengan pengurangan tol sebanyak 18 peratus dan tiada kenaikan selama 38 tahun, ia mendapat perolehan mencukupi untuk membiayai kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan.

“Kita juga percaya penggunaan jalan raya akan meningkat,” kata Perdana Menteri ketika ditemui di Loji Rawatan Kumbajan Pantai Tengah, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengurangan kutipan tol PLUS nanti akan menjejaskan syarikat berkenaan.

Tambah Perdana Menteri, selain kutipan tol, syarikat konsesi itu juga mempunyai pendapatan lain seperti pengiklanan dan lain-lain.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengurangan kutipan tol PLUS nanti akan menjejaskan syarikat berkenaan.

Pada 17 Januari lalu, kerajaan mengumumkan Lebuhraya PLUS kekal menjadi milik Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpnan Pekerja yang masing-masing menguasai 51 dan 49 peratus kepentingan dalam syarikat lebuh raya itu.

Kerajaan bersetuju melaksanakan pengurangan 18% ke atas kadar tol bagi penggunaan kenderaan persendirian di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas dipersetujui Kabinet yang bermesyuarat pada 15 Januari, 2020.

Keputusan itu membabitkan Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP)

Sejajar dengan keputusan itu, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh konsesi bagi semua Lebuhraya PLUS selama 20 tahun, dari 2038 ke 2058. – MalaysiaGazette