Pemain Thailand, Chanatip Songkrasin diasak pemain-pemain Malaysia pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

BANGKOK – Sebuah kelab yang beraksi dalam saingan La Liga dikhabarkan berminat untuk menandatangani khidmat pemain bintang Thailand, Chanathip Songkrasin.

Setelah tiga musim beraksi dalam saingan J League bersama Hokkaido Consadole Sapporo, Chanathip mempunyai peluang untuk mengikut jejak langkah rakan sepasukan di skuad kebangsaan Thailand, Teerasil Dangda yang pernah beraksi di La Liga bersama Almeria.

Malaga dikhabarkan menjadi pasukan yang berminat untuk menandatangani pemain berusia 27 tahun itu kerana kelab tersebut sedang mencari pemain tengah menyerang untuk memperbaiki prestasi semasa dalam saingan divisyen kedua.

Selain itu, Malaga turut berpeluang untuk menarik pelabur dari Thailand seperti yang dilakukan oleh kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City kerana Chanathip merupakan bintang bola sepak nombor satu di negara tersebut.

Musim 2019 lalu, Chanatip yang turut dikenali Messi Jay diundi sebagai pemain terbaik Consadole Sapporo oleh rakan sepasukan selain tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik bagi musim tersebut. – MalaysiaGazette