KAJANG – Dalam usaha untuk memperkenalkan lebih banyak program yang dapat membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan Program Food Bank Malaysia (PFBM) di setiap zon di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat pengumpulan dan pengagihan Food Bank yang bakal diwujudkan akan melicinkan proses pengagihan makanan sekiranya berlaku bencana alam.

“Ketika banjir melanda Pantai Timur, petugas Yayasan Food Bank dan sukarelawan berminggu-minggu berada di sana bersama rakan strategik kami mengagihkan makanan setiap hari lepas mangsa banjir di Kelantan.

“Alangkah baiknya kalau pusat pengumpulan dapat diwujudkan mengikut zon dan pengedaran makanan ini akan menjadi lebih pantas.

“Adalah menjadi hasrat kami untuk pusat pengumpulan ini diwujudkan mengikut zon supaya meningkatkan lagi kecekapan pengedaran barang-barang dan memudahkan penyumbang di setiap zon untuk beri sumbangan masing-masing,” katanya selepas pra pelancaran Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Program Food Bank Malaysia di Pusat Pengagihan Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, Kajang, hari ini.

Ke arah itu, kementerian telah membangunkan sebuah pusat pengumpulan dan pengagihan pertama di negara ini bagi program Food Bank.

Terletak di Bukit Angkat, Kajang, fasiliti seluar 13,000 kaki persegi ini dilengkapi dengan kemudahan asas dan ruangan pejabat.

Pusat ini turut dilengkapi dengan tak penyimpanan, jentera fork lift, bilik sejuk beku bagi menyimpan stok makanan yang dikumpulkan di sini.

Selain di Kajang, pusat pengumpulan telah dibina di Bandar Baru, Kulim, Kedah bagi tujuan sama.

Tahun lalu, Saifuddin berkata, program ini akan diwujudkan di 123 IPTS termasuk politeknik dan institut latihan guru di seluruh negara. – MalaysiaGazette