Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menyerahkan sumbangan kepada para penerima pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Tabung pusingan kediaman yang ditubuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan, bukan duit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tegas Menterinya, Abdul Khalid Samad.

Sebaliknya, kata beliau, duit itu dikumpul hasil denda dan bayaran yang dikenakan ke atas pemaju yang menjual rumah kuota Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

“Tabung pusingan kediaman yang berjumlah RM3.9 juta ini bukan duit DBKL. Berita yang melaporkan DBKL menyediakan peruntukan itu adalah tidak benar.

“Ia merupakan duit kutipan dari denda dan bayaran pemaju yang menjual rumah kuota Bumiputera kepada yang bukan Bumiputera tanpa kebenaran. Jadi, mereka dikenakan didenda dan duit itu kita masukkan dalam tabung pusingan kediaman.

“Kadar denda dan bayaran yang dikenakan kepada pemaju berkenaan ialah lima peratus dari nilai rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ramah mesra dan penyampaian sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama komuniti Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini, hari ini.

Menurut Abdul Khalid, duit yang dikumpul dalam tabung itu wajar digunakan untuk membantu Bumiputera yang membuat pinjaman bank, tetapi tidak mampu untuk membuat pembayaran pendahuluan rumah 10 peratus.

Jelas beliau, kadar bantuan yang diberikan kepada pemohon ialah sebanyak lima peratus dari jumlah 10 peratus pendahuluan.

“Maknanya, jika pemohon itu yang sudah mendapat kelulusan pinjaman dari bank, tidak mampu membayar pendahuluan 10 peratus, misalnya RM10,000, maka kita beri bantuan RM5,000 kepada pemohon dari tabung berkenaan.

“Mereka pula akan bayar balik selepas 10 tahun membeli atau menduduki rumah berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette