ALOR STAR – Kedah tidak berdepan masalah melangkah penuh bergaya ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 selepas mudah menundukkan wakil Hong Kong, Woofoo Tai Po FC 5-1, malam tadi.

Pemain import, Kipre Tchetche muncul wita buat Kedah apabila berjaya meledak hatrik pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu hanya memerlukan tiga minit permainan untuk membuka tirai jaringan susulan rembatan dari luar kawasan penalti yang tidak mampu dihalang penjaga gol Tai Po FC, Ho Yui.

Pada minit ke-21, Kipre sekali lagi membuatkan 19,803 penyokong tuan rumah bersorak apabila menolak mudah bola hasil hantaran lintang yang dilakukan Rizal Ghazali.

Kelincahan Kipre terus menjadikan pertahanan Tai Po FC kelam-kabut hingga memaksa Sun Ming Him melakukan kekasaran yang menyaksikan pemain kelab Hong Kong itu dilayangkan kad merah pada minit ke-33.

Kelebihan dua jaringan nyata masih belum mencukupi buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu apabila Muhammad Azman menambah dua jaringan pada minit ke-47 dan 66 bagi mengukuhkan kedudukan.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Tai Po FC tetap berusaha keras untuk mendapatkan jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-68 menerusi jaringan Chan Man Fai.

Ketika pengadil perlawanan, Saoud Ali Al-Adba semakin hampir untuk meniupkan wisel penamat, Kipre melengkapkan hatriknya untuk keputusan penuh 5-1 buat Kedah.

Kemenangan bergaya dicatatkan itu menyaksikan Kedah akan berkunjung ke Korea Selatan bagi menempah pertemuan menentang FC Seoul pada 28 Januari ini. – MalaysiaGazette