Ketua DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat negeri pada 9 Disember akan datang.
Tony Pua

KUALA LUMPUR – Kemenangan tiga kali ganda, kata Tony Pua.

Ahli Parlimen Damansara itu mengulas langkah kerajaan menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus; membekukan peningkatan kadar tol sehingga 2058; tiada pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada syarikat konsesi serta mengekalkan pegangan Khazanah Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah pentadbiran Barisan Nasional, konsesi telah dilanjutkan beberapa kali namun kadar tol tidak pernah diturunkan malah akan dinaikkan setiap tiga tahun mengikut perjanjian.

“Walaupun pengguna PLUS ada kalanya tidak dikenakan kenaikan kadar tol, tetapi kerajaan masih perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi mengikut perjanjian yang dirunding oleh BN. Pada zaman BN, pampasan melebihi RM3 bilion terpaksa dibayar oleh Kerajaan kepada pihak konsesi untuk membekukan kadar tol.

“Dengan penstrukturan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan PH, kadar tol akan dibekukan sepanjang konsesi dengan diskaun 18% tanpa memerlukan 1 sen pampasan pun daripada pihak Kerajaan.

“Ini bermaksud pampasan sebanyak RM26 bilion dapat dijimatkan oleh Kerajaan PH sepanjang konsesi berbanding dengan kadar tol zaman Najib.

“Jumlah yang besar ini akan diperuntukkan kepada rakyat serata Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kebajikan dan pembangunan ekonomi, dan bukannya kepada syarikat lebuhraya bertol.

“Malah, pemansuhan kutipan tol di 3 plaza tol PLUS mulai 2018 yang sering diungkit oleh bekas Perdana Menteri sebagai “pencapaian” beliau pula telah mengikat Kerajaan dengan bayaran pampasan sebanyak RM856 juta yang masih terhutang kepada PLUS.

“Nasib baik dengan pelan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, ‘hutang’ ini daripada Kerajaan kepada PLUS akan dilupuskan dan tidak perlu lagi dibayar.

“Ini secara langsung membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan semula jumlah ini kepada lain-lain perbelanjaan yang lebih memanfaatkan rakyat seluruh Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tony turut mendakwa Najib sudah pening dan hilang akal untuk memikirkan cara bagi mempertahankan dasar lebuh raya bertol kerajaan BN yang menganiaya rakyat.- MalaysiaGazette