Pihak ATM berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.-pix hiasan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius insiden penculikan lima orang warganegara Indonesia (WNI) di Perairan Tambisan, Sabah yang dilaporkan pada 16 Januari lalu.

Kelima-lima warga Indonesia dipercayai telah dibawa ke Selatan Filipina oleh kumpulan penculik yang dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf.

Dalam kenyataan terbaharu Bahagian Hal Ehwal Awam – J7, Markas ATM berkata, pihaknya sentiasa mengimplementasikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Katanya, adalah ditegaskan, kesemua usaha-usaha kesepakatan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim secara bersepadu di perairan Laut Sulu yang bermula sejak tahun 2016 telah dan sedang dilaksana oleh ATM.

“Malah ketiga-tiga negara juga telahpun menubuhkan Pusat Kawalan Maritim bagi tujuan perkongsian maklumat, risikan dan koordinasi aktiviti-aktiviti Trilateral Maritime Patrol (TMP) dan Trilateral Air Patrol (TAP) yang melibatkan ATM, Tentera Nasional Indonesia dan Angkatan Tentera Filipina.

“Kesemua kesepakatan lain yang dipersetujui bersama di bawah Trilateral Cooperation Agreement di antara ketiga-tiga negara juga telahpun dilaksanakan oleh Malaysia dan ATM.

“Bagi memperkukuhkan lagi keselamatan kawasan maritim di Pantai Timur Sabah khususnya, ATM juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain dari Malaysia iaitu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PGM-PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang turut melaksanakan rondaan dalam perairan maritim Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, ia merupakan manifestasi komitmen padu Malaysia dan ATM bagi memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim melangkaui kesepakatan kerjasama yang dipersetujui ketiga-tiga negara melalui Trilateral Cooperation Agreement.

Pihak ATM berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina dilaksana sepenuhnya termasuk meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain dari Malaysia untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim di Laut Sulu dan Pantai Timur Sabah.-MalaysiaGazette