Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bukan mudah untuk memohon supaya salah seorang daripada keluarga diraja Arab Saudi tampil memberikan keterangan di mahkamah.

Oleh itu, bekas Perdana Menteri itu menolak cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram yang menuduhnya dengan sengaja (convenient) tidak mahu memanggil anggota keluarga diraja Arab Saudi memberi keterangan mengenai sumbangan yang mereka lakukan.

Najib berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas antara Sithambaram dengannya pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana syarikat itu sebanyak RM42 juta.

Malah beliau juga tidak bersetuju dan berkali-kali menegaskan bahawa empat sumbangan berjumlah RM 2.6 bilion yang dilakukan secara berperingkat, antara 2011 hingga 2014, merupakan sumbangan dari Arab Saudi yang mana sebahagian kecilnya adalah daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Sithambaram: Saya ingin tahu, adakah anggota keluarga diraja Arab Saudi akan dipanggil untuk berikan keterangan di mahkamah berkait dengan sumbangan dana RM2.6 bilion ini?

Najib: Well, kita tidak dapat… Sebenarnya sukar untuk buat mereka datang beri keterangan di mahkamah.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda, sebenarnya dari awal lagi anda sebenarnya tahu dana ini bukannya datang dari keluarga diraja Arab?

Najib: Langsung tidak setuju kerana ada sebahagian daripada dana ini datang sendiri dari Kementerian Kewangan Saudi.

Sithambaram: Tetapi tidak ada angggota yang datang beri keterangan?

Najib: Tidak. Sukar untuk bawa mereka.

Sitahmbaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa agak ‘convenient’ sebenarnya untuk mahu tidak panggil mereka beri keterangan untuk pengesahan cerita kamu.

Najib: Tidak setuju langsung.

Dalam pada itu, ketika disoal Sithambaram adakah beliau memeriksa pemilik syarikat, Tanore Finance Corp. yang telah menerima wang AS$620 juta yang dipulangkan sebagai lebihan derma, kata Najib beliau tidak melakukannya kerana tindakan itu tidak ‘wajar’.

Najib juga mendakwa adalah tidak wajar untuk memeriksa sumbangan yang diberikan oleh Arab Saudi dengan anggota keluarga diraja itu sendiri.

Sebaliknya, kata bekas Perdana Menteri itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low adalah saluran dan perantara kepada keluarga diraja tersebut.

Sithambaram: Apa maksud kamu Jho Low adalah wakil kepada anggota keluarga diraja ini?

Najib: Jho Low berurusan dengan Putera Turki (Putera Arab Saudi, Turki bin Abdullah Al Saud).

Sithambaram: Bagaimana anda begitu pasti Jho Low adalah wakil kepada keluarga diraja ini? Adakah kamu berdua telah diletakkan bersama-sama dalam bilik dan kemudian anda diberitahu dia adalah wakil mereka? Begitu?

Najib: Saya tahu kerana itulah faktanya.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada kamu, Tanore Finance Corp ini bukan milik keluarga diraja Arab Saudi?

Najib: Saya tidak boleh sahkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram

Prosiding bersambung dengan Sithambaram terus menyoal Najib tentang kemasukan dana SRC International ke dalam akauan peribadi Ambank beliau di hadapan hakim, Mohd Nazlan Mkhd Ghazali.

Sithambaram dijangka menamatkan sesi soal balasnya hari ini selepas menyoal Najib sejak 10 hari lalu.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC International. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast