Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – “Kita tidak boleh paksa lembaga disiplin buat apa-apa keputusan. Saya tidak tahu apa-apa. Mereka tunggu jawapan Zuraida.”

Itu jawapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita di satu program di Universiti Sultan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menolak dakwaan beliau sendiri mempengerusi keputusan lembaga itu ketika spekulasi mengatakan Zuraida akan dipecat ekoran berhubung kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dilihat kritikal kepadanya baru-baru ini.

Sebelum itu Zuraida diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab yang diserahkan pada 17 Januari lepas.

Mengenai kenyataan bersama 46 pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Anwar mengulangi jawapan yang ia diputuskan oleh lembaga disiplin parti.

“Mereka gesa supaya kalau boleh lembaga disiplin tarik balik (tindakan terhadap Zuraida). Ini keputusan lembaga disiplin, mereka bebas buat keputusan,” katanya.

Beliau mendakwa dalam kalangan 46 yang dinamakan dalam kenyataan itu, “ada yang beritahu saya mereka tidak tandatangan.”

Mengenai dakwaan ada tindakan terancang terhadap Zuraida, Anwar berkata; “Biar dia (Zuraida) jawab dalam lembaga disiplin.”

Mengenai pertemuan pimpinan Pas dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononya ada kaitan dengan ‘penjajaran baru’ kepimpinan negara, Anwar menganggap ia hanya tafsiran umum.

“Boleh jadi bayangan Pas,” katanya sambil berseloroh beliau sendiri bersedia berjumpa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tujuan yang sama.

Baru-baru ini Mahathir ketika mengulas perkara yang sama menganggap sebagai perdana menteri, beliau boleh bertemu dengan sesiapa sahaja termasuk musuh politiknya.- MalaysiaGazette