Mauricio Pochettino

LONDON – Pengurus tertinggi Manchester United telah meletakkan bekas pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino dalam senarai pendek tiga calon pengurus untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Laporan terbaharu di Manchester mendakwa kononnya kedudukan bekas legenda the Red Devils itu kini tidak selamat ekoran dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris iaitu kepada musuh tradisinya Liverpool dan kelab tercorot Burnley di Old Trafford.

Manchester United kini memperolehi 34 mata daripada 24 perlawanan yang disifatkan terendah sejak 1990.

the Devils kini mengejar untuk menamatkan saingan di empat teratas bagi menempah tiket ke kempen Liga Juara Juara Eropah musim hadapan.

Bagaimanapun peluang itu dilihat sangat tipis ekoran prestasi hambar pasukan ketika ini dan kekal di tangga kelima dengan perbezaan enam mata di belakang Chelsea.

Liverpool yang mendahului carta Liga Perdana Inggeris dipisahkan 33 mata daripada Man United dan ia sangat mengejutkan peminat tegarnya di Theatre of Dreams sehingga menerima kritikan.

Pemilik kelab elit itu, Glazers dikecam hebat sebagai punca kemerosotan prestasi kelab dan para penyokong memulakan kempen Glazer dan Woodward berundur di setiap laman sosial di serata dunia.

Ed Woodward yang merupakan individu yang didesak berundur tidak bercadang memecat Solskjaer dan mahu memberi masa secukupnya untuk mengubah keadaan.

Namun laporan di London mendakwa United telah menyenaraikan tiga nama popular untuk menggantikan Solskjaer jika pengurus kelahiran Norway itu gagal mengubah nasib kelab berkenaan

Pochettino, Gareth Southgate dan Julian Nagelsmann dikatakan antara ikon yang disenaraikan untuk menggantikan Solskjaer.

Pochettino yang lama dikaitkan dengan Manchester United kini bebas selepas dipecat Spurs tahun lalu. – MalaysiaGazette