KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1441H/2020M secara berperingkat mulai Selasa ini.
Pengurus Besar Kanan Haji Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH akan memasukkan senarai nama mereka yang terpilih ke dalam sistem TH mulai tengah malam tadi bagi membolehkan urusan penawaran surat dijalankan.
“Apabila kita mengeluarkan surat tawaran ini, kita beri tempoh kepada mereka selama 30 hari untuk menjawab sama ada setuju atau tidak untuk menerima tawaran itu.
“Dari tarikh tutup tersebut kita dapat mengetahui berapa ramai yang tolak atau tunda pemergian haji. Kita juga akan dapat kenal pasti jumlah kekosongan yang ada,” katanya.
Beliau berkata, kekosongan berkenaan akan diisi oleh pendeposit TH yang mendaftar haji dan membuat rayuan untuk menunaikan rukun Islam kelima, dengan pemilihan dilakukan berpandukan merit tertentu, seperti merit rayuan mahram dan rayuan lanjut usia.
“Sebagai contoh, isteri terpilih tetapi suami tidak terpilih maka suami boleh membuat rayuan untuk pergi bersama isteri dan sebaliknya.
“Keadaan sebegini akan diberi keutamaan, mereka yang sudah lanjut usia juga boleh membuat rayuan supaya kita dapat mempertimbangkan permohonan jika ada kekosongan.
“Rayuan juga terbuka kepada mereka yang sudah berdaftar lama. Contohnya, sebelum ni dapat tawaran, tetapi terpaksa tolak atas sebab tertentu seperti kekangan kewangan, kesihatan dan sebagainya.
“Keutamaan diberi kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah itu buat kali pertama,” katanya.
Syed Saleh berkata, mulai tahun ini, TH memperkenalkan borang rayuan haji yang boleh didapati di laman web atau pejabat cawangan TH bagi mereka yang ingin mengemukakan permohonan rayuan haji.
Katanya, borang itu perlu diisi oleh setiap individu yang ingin menunaikan haji bagi membolehkan TH mengenalpasti mereka yang mencukupi syarat.
Beliau berkata, TH menerima 100,000 surat rayuan sejak selepas berakhirnya musim haji lepas dan mereka yang membuat surat rayuan berkenaan masih perlu mengisi borang rayuan haji.
Lebih ramai umat Islam di Malaysia berpeluang menunaikan haji tahun ini susulan kenaikan kuota rasmi negara kepada 31,600 jemaah, iaitu peningkatan 1,400 orang berbanding 30,200 jemaah tahun lepas.
Pertambahan itu adalah hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya TH dengan kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring dengan peningkatan jumlah penduduk negara ini.
Mengenai persediaan TH untuk memastikan keselamatan bakal jemaah berikutan penularan pelbagai jenis virus masa kini, Syed Saleh berkata, institusi itu sentiasa berpandukan nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Berbekalkan pengalaman sebelum ini seperti penularan wabak Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan Influenza A (H1N1), beliau berkata, ia memberi TH persediaan untuk mengendalikan sebarang situasi dengan lebih baik dan bakal jemaah juga akan dinasihatkan mengambil suntikan tambahan sekiranya perlu.- BERNAMA