MUNICH – Bayern Munich memberi amaran kepada pesaingannya dalam Bundesliga apabila pasukan itu membenam Schalke 04 5-0 yang menduduki tangga kelima liga bagi membolehkannya merapatkan jurang dengan pendahulu liga dengan satu mata.

Penyerang Robert Lewandowski merangka laluan pasukannya dengan menjaringkan gol liga ke-21 pada musim ini pada minit ke-6 selepas dua gol awal Bayen dinafikan kerana ofsaid manakala Thomas Mueller menambah jaringan ketika separuh masa pertama hampir tamat.

Leon Goretzka menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50 sebelum Thiago dan Serge Gnabry menambah dua lagi jaringan bagi membolehkan Bayern mencatatkan lima kemenangan liga berturut-turut, lapor Reuters.

Selepas menghuni di tangga keenam pada awal Disember lalu, Bayern – yang kini mengejar kejuaraan liga kelapan berturut-turut – mengumpulkan 39 mata daripada 19 perlawanan, satu mata di belakang RB Leipzig yang kalah 0-2 di tangan Eintracht Frankfurt semalam.

Borussia Moenchengladbach berada di tangga ketiga dengan 38 mata diikuti Borussia Dortmund pada kedudukan keempat dengan 36 mata.

“Kami mahu meningkatkan permainan kami, falsafah kami dan kami berjaya,” kata jurulatih Bayern, Hansi Flick.

“Saya tidak berminat dengan pelawanan Leipzig. Apa yang besar berlaku pada hari ini ialah kami dapat tiga mata. Pasukan kami stabil dan itu lebih penting,” katanya.

Schalke menghadapi masalah lebih awal apabila penjaga golnya, Markus Schubert menepis hantaran lintang Mueller dan sentuhan Ivan Perisic yang menuju kepada Lewandowski membolehkan pemain itu menjaringkan gol.

Rabbi Matondo menggegarkan palang gol Bayern sejurus selepas itu dan ia merupakan ancaman terakhir Schalke untuk memberi tentangan dalam perlawanan tersebut.

Mueller menyangka beliau telah menjaringkan gol pada minit ke-12 namun golnya itu tidak dikira selepas didapati ofsaid, keputusan yang disahkan oleh Video Bantuan pengadil (VAR).

Lewandowski turut menjaringkan gol namun menerima nasib yang sama.

Schubert menyelamatkan beberapa percubaan daripada Leon Goretzka and Lewandowski namun penjaga gol Schalke itu tidak dapat berbuat apa-apa pada minit ke-45 dengan jaringan Muellar yang menerima hantaran daripada tandukan Goretzka .

Keadaan Royal Blues bertukar parah dengan pantas. Baru lima minit permainan disambung, tandukan Goretzka terkena seorang pemain pertahanan, melantun ke arah belakang kepada pemain itu yang dengan pantas merobek gol lawan.

Gol keempat Bayern dijaringkan Thiago pada minit ke-58 manakala Serge Gnabry melengkapkan kemenangan pasukannya seminit sebelum perlawanan tamat. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast