Christian Eriksen

LONDON – Jose Mourinho membidas Inter Milan yang cuba mendapatkan khidmat christian Eriksen yang dianggapnya sebagai waktu yang tidak tepat.

Pengurus Tottenham Hotspurs itu berkata, tindakan Inter Milan itu adalah mengecewakan dan mengganggu kelab Inggeris tersebut.

Jendela perpindahan pemain musim sejuk ini kini di penghujung dan berbaki beberapa hari sahaja.

“Pada saat jendela perpindahan pemain hendak berakhir dalam beberapa hari lagi, Inter Milan cuba membeli Eriksen secara terburu-buru dan ia ternyata mengganggu pasukan dan latihan dalam EPL (Liga Perdana Inggeris),” kata Jose.

Eriksen yang berasal daripada Denmark akan meneruskan penerbangan ke Itali untuk memuktamadkan perpindahan ke kelab Serie A itu.

Mourinho juga mendakwa kelabnya juga perlu bertanggungjawab atas kesilapan itu.

“Tottenham terburu-buru mengumumkan kelab akan meminjam pemain Real Betis, Giovani Celso Januari ini.

“Jika ia tak dibocorkan, Inter Milan sudah pasti tidak akan mengganggu pasukan dengan menekan Eriksen untuk berhijrah ke Itali pada saat akhir ketika ini yang sebenarnya menyusahkan semua aktiviti kita di sini.

“Namun sejak ketibaan saya ke kelab ini Eriksen berkelakuan beradab dan profesional terhadap saya dan juga kelab.

“Tetapi tindakan (Inter Milan) rekrut saat akhir (25 Januari) adalah tidak beretika,” ujarnya.

Ketika seri 1-1 pusingan keempat Piala FA Emirates ketika bertemu Southampton malam tadi, Eriksen tidak tersenarai dalam kesebelasan utama, sekaligus menambah spekulasi pemain itu bakal berhijrah ke Itali.

Eriksen yang pernah meluahkan hasratnya menagih cabaran baharu dalam bola sepak akan tamat kontrak bersama Spurs pada Jun ini.

Ketika 2-1 ke atas Norwich minggu lalu, Eriksen diejek penyokong sendiri kerana tidak gembira dengan tingkah laku pemain itu yang didakwa tidak fokus ketika bersama pasukan. – MalaysiaGazette