Tan Sri Syed Hamid Albar. foto FAREEZ FADZIL, 26 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Proses saringan bagi penamaan calon untuk 189 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di seluruh negara akan selesai dilaksanakan pada 1 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, setakat ini proses pencalonan di semua bahagian berjalan lancar selepas dibuka pada pukul 9 pagi tadi hingga 2 petang.

“Seramai 1,010 orang pegawai bertugas dan segala proses pencalonan berjalan lancar sejak dimulakan serentak di kesemua 189 bahagian PPBM seluruh negara hari ini dan semua individu yang menawarkan diri sebagai calon mematuhi peraturan sehingga ada yang datang seawal 7 pagi lagi

“Proses penamaan calon akan ditutup pukul 2 petang dan proses saringan kesemua borang pencalonan yang diterima akan dilakanakan segera sehingga 29 Januari ini.

“Manakala setiap individu yang menawarkan diri sebagai calon diberi tempoh bertenang 27 Januari hingga 29 Januari ini untuk menarik diri jika ingin berbuat demikian,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PPBM menyatakan demikian pada sidang media di Sentul Pasar selepas meninjau proses penamaan calon empat bahagian iaitu Batu, Titiwangsa, Setiawangsa dan Seputeh.

Tambah Syed Hamid, proses penamaan calon dilakukan secara serentak di seluruh negara hari ini melibatkan 7,371 jawatan di 189 Bahagian PPBM yang akan dipertandingkan Februari ini.

Ia terdiri daripada 2,835 jawatan peringkat bahagian dengan 15 jawatan di setiap PPBM bahagian.

Manakala katanya, sebanyak 2,268 jawatan peringkat bahagian Srikandi melibatkan 12 jawatan di setiap Srikandi bahagian.

“Angka yang sama iaitu 2,268 juga melibatkan peringkat Armada bahagian iaitu 12 jawatan di setiap Armada (bahagian).

“Proses pemilihan menerusi kertas undi untuk kesemua 7,371 jawatan melibatkan 189 Bahagian PPBM akan diadakan semasa mesyuarat cawangan yang akan dijadualkan berlangsung bermula 15 Februari hingga 29 Mac ini.

Menurutnya, kertas undi telah dihantar ke setiap cawangan PPBM di seluruh negara.

“Borang pencalonan hari ini akan diserahkan di Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) peringkat Pusat yang bertanggungjawab menjalankan saringan tersebut dan akan mengumumkan kepada ahli-ahli mereka yang layak bertanding kelak untuk memastikan mana mana calon yang ada rekod disiplin dan sewaktu dengannya berisiko ditolak daripada bertanding.

“Senarai lengkap nombor calon yang diluluskan kelayakan bertanding akan dimuktamadkan pada 1 Februari 2020 iaitu pada hari Wilayah Persekutuan sebelum senarai rasmi akan dihantar kepada JPPN dan JPPB untuk diumum dan dipamerkan kepada ahli-ahli,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, proses pencalonan untuk Majlis Pimpinan Pusat PPBM melibatkan jawatan tertinggi daripada presiden, Timbalan Presiden dan juga jawatan-jawatan lain akan dibuka pencalonan pada 16 Mac ini bermula pukul 10 pagi dan akan ditamatkan pada pukul 3 petang bertempat di Ibu Pejabat PPBM.

“Setakat ini peringkat cawangan tidak ada masalah kerana tidak ada pendaftaran dan merekalah yang akan mengundi semasa mesyuarat cawangan mulai 15 Februari ini untuk memilih jawatankuasa pimpinan Bahagian PPBM nanti,” katanya. -MalaysiaGazette