Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Bersama Persatuan-Persatuan Cina Klang di Bangunan Persatuan Hokkien Klang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JANUARI 2020

KLANG – Penyebaran wabak koronavirus di Malaysia masih belum berada pada tahap kritikal sehingga kerajaan perlu menghalang kemasukan pelancong ke negara ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, apa yang dilakukan kerajaan sekarang adalah meneruskan pemeriksaan terhadap kesemua pelancong, sama ada mereka ada menunjukkan sebarang simptom virus terbaharu itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sentiasa membuat penilaian terhadap situasi tersebut.

“Kita sedang memeriksa semua pelancong yang tiba ke negara ini dan disebabkan itu kita boleh kesan ada empat individu yang telah dijangkiti.

“Apa yang sukar adalah terdapat manifestasi penyakit ini yang sukar dikesan pada peringkat awal.

“Masalahnya adalah orang sekarang kerap berjalan, bukan seperti dahulu dan perjalanan mereka juga semakin pantas.

“Kita tidak boleh mengesan mereka dengan segera dan kita perlu menerima hakikat bahawa kawalan sepenuhnya adalah sesuatu yang mustahil,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan kuarantin semua pelancong China sebaik sahaja tiba di pintu masuk negara ini sebelum dibenarkan keluar, Dr. Mahathir berkata, langkah tersebut agak mustahil.

“Kadang-kadang kita menerima dua juta pelancong China, bagaimana hendak kuarantin semua.

“Hendak letak di mana?

“Takkan nak buh (letak) kat kandang lembu

“Sekarang ini, kita kuarantin walaupun hanya menunjukkan simptom yang sedikit,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga tidak berhasrat menghantar pulang pelancong-pelancong dari Wuhan kerana dalam proses tersebut mungkin akan berlaku kontak dengan orang lain dan menyebabkan jangkitan berlaku.

Jelasnya, lebih baik kerajaan mengasingkan pelancong-pelancong berkenaan sehingga mereka sudah tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan.

“Kami sedang mengasingkan mereka dan tidak membenarkan mereka bercampur dengan orang lain.

“Ini adalah langkah pertama tetapi orang lain juga perlu mengambil langkah-langkah pencegahan terutama yang bekerja dekat dengan pesakit-pesakit tersebut dengan memakai topeng muka.

“Malah saya tegaskan, pakailah topeng muka apabila anda keluar di tempat yang sesak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berharap supaya dunia dapat membuat satu sistem di mana proses pengasingan bagi penyakit-penyakit berjangkit seperti koronavirus ini dapat dilakukan dengan lebih cepat.

Ini kerana tiada siapa boleh menghalang seseorang untuk bergerak, sekali gus menyebabkan penyakit-penyakit begini mudah merebak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast