Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan terhadap koronavirus ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Berkuatkuasa serta merta, kerajaan menggantung sementara kemasukan rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei serta sekitarnya berikutan penularan koronavirus.

Keputusan ini dibuat selepas pemantauan terhadap perkembangan semasa kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China yang semakin menular.

Berikutan keputusan itu, kemudahan Imigresen yang digantung untuk diberikan kepada mereka adalah eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei.

“Pemantauan telah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan.

“Berikutan dengan maklumat terkini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel
koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei tersebut dan ianya adalah berkuatkuasa serta merta,” kata Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, kemudahan Imigresen ini akan diberikan semula selepas keadaan kembali normal.

Wisma Putra, tambah kenyataan itu, akan membuat penyelarasan bersabit keputusan terbaharu ini dengan kerajaan China dengan segera.

Dalam pada itu kerajaan sekali lagi mengingatkan semua pihak tidak menyebarkan maklumat tidah sah dan palsu berkenaan nCov kerana ia boleh mengakibatkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast