Mohamad Norza Zakaria

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menasihatkan persatuan sukan tanahair agar tidak membuat sebarang perancangan latihan ataupun menyertai kejohanan di China ekoran penyebaran penyakit 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga meminta agar persatuan sukan memikirkan jalan dan keputusan terbaik sama ada mahu memanggil pulang, jika ada kalangan atlet negara berada di negara itu.

“Bagi saya apa pun dasar yang kita nak buat mesti berpandukan kepada dasar dan polisi kerajaan, yang datangnya daripada kabinet atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagaimanapun, saya menasihatkan persatuan sukan, buat masa ini tidak perlu untuk membuat perancangan untuk ke China.

“Kita kena lihat apakah kesan daripada Koronavirus ini terhadap negara China dan serantau. Bagi yang memang ada di sana, biar persatuan buat keputusan terbaik untuk panggil balik atau tidak,” katanya kepada media.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Persatuan Olahraga Asia (AAA) telah membatalkan Kejohanan Olahraga Asia kesembilan di Hanzhou, China yang dijadualkan pada 12 dan 13 Feb ini disebabkan penularan wabak itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan empat warganegara China, yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura, telah disahkan positif virus itu.

— BERNAMA