Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan peniaga mengambil petunjuk daripada penurunan semalaman dalam pasaran saham AS dengan kebimbangan yang meningkat mengenai wabak koronavirus.

Pada 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.48 peratus atau 23.31 mata kepada 1,549.50 daripada 1,572.63 semasa ditutup pada Jumaat, selepas dibuka rendah 14.24 mata kepada 1,558.57.

Suasana pasaran secara keseluruhan di Bursa Malaysia negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 569 berbanding 95, manakala 131 kaunter kekal tidak berubah, 1,182 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 573.78 juta saham bernilai RM326.63 juta.

Dalam nota, PublicInvest Research Daily berkata tiga indeks di Wall Street mencatatkan penurunan harian yang teruk, berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai impak ekonomi daripada koronavirus yang mula dikesan di Wuhan, China.

Virus yang cepat merebak itu telah meragut lebih 80 nyawa dan menjangkiti lebih 2,000 orang di beberapa negara, terutamanya di China.

Dow Jones Industrial Average susut 453.93 mata kepada 28,535.80, Indeks S&P 500 merosot 51.84 mata kepada 3,243.63 dan Indeks Komposit Nasdaq berkurangan 175.60 mata kepada 9,139.31.

Di Bursa Malaysia, hampir semua saham wajaran tinggi rendah, manakala saham penjagaan kesihatan meningkat dengan Hartalega naik 32 sen kepada RM6.35, Top Glove menokok 52 sen kepada RM6.06 dan IHH tidak berubah pada RM5.79.

Saham wajaran tinggi lain, Maybank susut empat sen kepada RM8.49, Public Bank merosot 30 sen kepada RM18.88 dan Tenaga berkurangan 34 sen kepada RM12.54.

Pengeluar sarung tangan getah, Careplus dan Supermax antara saham paling aktif diniagakan hari ini, masing-masing naik 12 sen kepada 35.5 sen dan menambah 21 sen kepada RM1.82.

Indeks FBM Emas susut 172.54 mata kepada 11,074.12, Indeks FBM Emas Shariah merosot 181.38 mata kepada 11,786.76, Indeks FBMT 100 berkurangan 166.18 mata kepada 10,866.15, FBM 70 turun 225.17 mata kepada 13,997.06 dan FBM Ace susut 44.25 mata kepada 5,636.15.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 3.34 mata kepada 148.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 189.29 mata kepada 14,913.78 dan Indeks Perladangan turun 144.05 mata kepada 7,280.70. – MalaysiaGazette