KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 kiosk yang memasarkan produk muslim bertemakan kempen Beli Produk Muslim (BMF) bakal dibuka di masjid terpilih di seluruh negara tidak lama lagi.
Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, setakat ini proses penyediaan prasarana kiosk BMF itu berjalan lancar.
Beliau berkata, pihaknya hanya menunggu lampu hijau dari kerajaan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sebelum dilaksanakan.
Selain itu, MPMMK juga akan melihat potensi dan kemudahan di masjid berkenaan terlebih dahulu sebelum menawarkan sewaan pada kadar berpatutan kepada peniaga berminat bagi memudahkan urusan jual beli.
“Produk yang akan diniagakan adalah barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung termasuk produk kesihatan, kecantikan serta eksesori lelaki dan wanita.
“Projek ini memfokuskan kepada peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasar raya besar untuk memasarkan produk mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Mohammad Faiz berkata, pembukaan 1,000 kiosk BMF di masjid adalah usaha MPMMK memberi peluang dan membela nasib usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan umat Islam dan membantu menjihadkan ekonomi Islam.
Katanya, masjid juga perlu menjadi platform meningkatkan ekonomi masyarakat setempat seterusnya membantu penguasaan orang Islam dalam bidang tersebut.
“Masjid adalah platform terbaik kerana setiap hari orang Islam solat berjemaah, setiap minggu solat Jumaat. Tidak lama lagi Ramadan, umat Islam akan solat Tarawih dan selepas itu solat Hari Raya Aidilfitri.
“Selepas beribadat, mereka boleh mendapat bekalan harian daripada kiosk BMF itu. Begitu juga makanan seperti kurma untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Beliau berkata, sejak MPMMK mengemukakan cadangan kiosk BMF di masjid seluruh negara, projek itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga Muslim.
“Peniaga yang berminat menyertai projek ini tidak sabar untuk beroperasi, dan sekiranya fasa pertama ini berjaya, kami rancang memperluaskan lagi ke masjid di seluruh negara,” katanya.
Katanya, orang ramai yang berminat dan hendak bertanya atau tempahan kiosk boleh hubunginya di talian 014-337 1010. – MalaysiaGazette