Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menuntut agar subsidi kepada semua perayu dan pengiring yang akan menunaikan haji tahun ini dikekalkan sebanyak RM12,920.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bahkan subsidi wajar diberikan kepada semua pencarum sama ada mereka yang menunaikan haji melalui muassasah atau syarikat swasta yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ini kerana, katanya, sumber bantuan subsidi diperolehi daripada hasil keuntungan pelaburan TH.

“Konsep istito’ah (kemampuan) tidak menghalang pengurusan TH untuk memberikan subsidi kerana ia sebahagian tanggungjawab dan keistimewaan yang harus dikekalkan.

“Ramai orang Islam termasuk warga emas dan masyarakat kampung sudah mampu melunaskan bayaran kos haji sebanyak RM9,980, tetapi mereka masih menunggu giliran.

“Jangan dibebankan lagi dengan penarikan subsidi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mempersoalkan, mengapa dalam borang rayuan yang dikeluarkan hari ini meminta persetujuan perayu untuk membayar sepenuhnya kos haji sebanyak RM22,900?

Kata beliau, tidak perlu untuk memberi pilihan kerana subsidi haji adalah layak bagi mereka meskipun sebagai perayu dan pengiring.

“Kita minta pihak pengurusan tetap dengan pendirian yang pernah dikeluarkan pada Mac 2019 dan kita yakin kedudukan kewangan TH mampu untuk meneruskan pembiayaan subsidi kepada mereka.

“TH mesti terus menjunjung salah satu misinya iaitu untuk memudah dan menyempurna urusan jemaah ke arah haji yang mabrur. Semoga usaha gigih TH dalam membantu jemaah haji akan diberkati Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast