Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer (kanan) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian jemaah yang hadir pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Keberangkatan Jemaah ke Tanah Suci Mekah di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui bagaimana amal jariah serta keprihatinan terhadap golongan tidak bernasib baik menjadi keutamaan kepada Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Malah setiap kali menjelmanya musim perayaan mahupun pelajar kembali ke sekolah, Abdul Malik antara yang paling awal dan ketara dalam menjalankan tanggungjawab sosialnya.

Pemilik syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil, Malik Streams Corporation itu berkata, selagi mampu beliau akan terus menunaikan kewajipan dalam menjaga kepentingan golongan ini.

Terbaru, semalam beliau menaja 111 orang termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU) menunaikan ibadah umrah.

Sebelum berlepas, Abdul Malik sempat menjamu setiap jemaah dan keluarga mereka serta sahabat terdekat di Shangrila Hotel di Kuala Lumpur.

Turut dihadir kerabat diraja Pahang seperti Tengku Hasannal Aziz dan Tengku Imana Azizi.

Selain itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim serta bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa turut hadir pada majlis tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima, Mohamad Hanifah (kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Keberangkatan Jemaah ke Tanah Suci Mekah di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2020.

Ketika berucap, Abdul Malik kelihatan sedikit beremosi dan ucapannya menyentuh hati pada hadirin.

“Sebenarnya tidak ramai yang tahu, sekitar tahun 2017 sebelum bermulanya inisiatif ini di bawah Malik Streams Corporation, pada satu hari saya seolah-olah diberi ‘bisikan’ atau petunjuk yang saya anggap ilham dari Allah untuk membawa jemaah menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci Makkah.

“Bisikan itu sebenarnya yang menjadi petunjuk kepada saya untuk mulakan sesuatu begitu mulia seperti ini yang pastinya berlipat kali ganda manfaat bukan saya sebaliknya kepada semua yang dekat dengan saya.

“Ketika itu lagi sekitar 2017, saya dapat menghantar seramai 50 jemaah, namun saya memutuskan untuk menggandakan bilangan jemaah kepada 100 pada tahun berikutnya.

Para jemaah yang hadir pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Keberangkatan Jemaah ke Tanah Suci Mekah di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2020.

“Berkat usaha dan doa daripada semua pihak yang menyokong usaha ini, Allah SWT membuka peluang untuk menambah jumlah jemaah, kepada 111 orang lagi pada kali ini, mungkin lebih luas rezeki serta petunjuk Allah pada tahun-tahun akan datang.

“Usaha murni ini bukan hanya berkisar kepada penghantaran jemaah semata-mata, namun lebih berpaksikan agenda tanggungjawab sosial, iaitu membantu golongan memerlukan,” katanya sebelum di susuli dengan tepukan gemuruh.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Abdul Malik mendedahkan beliau berbelanja kira-kira RM900,000 bagi menghantar 88 warga tempatan dan 23 warga India ke tanah suci dengan rata-rata adalah golongan tidak bernasib baik.

Kebanyakan mereka terdiri dSelagi mampu Abdul Malik akan terus taja golongan memerlukan tunai umrahripada golongan miskin tegar, OKU seperti tiada penglihatan, pekak serta bisu selain kumpulan ibu tunggal serta seorang bapa tunggal.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer bercakap pada sidang media selepas Majlis Makan Malam dan Pelancaran Keberangkatan Jemaah ke Tanah Suci Mekah di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2020.

Abdul Malik sendiri terlibat dalam pencarian setiap daripada jemaah ini selepas membuat hebahan melalui media kepada umum, malah pencariannya dilakukan sehingga ke India.

“Bukan sahaja mereka terharu apabila terpilih bagi melakukan umrah sebaliknya saya yang duduk dalam jawatankuasa pemilihan itu kadang-kadang mengalirkan airmata mendengar sendiri kesusahan serta perit jerih mereka.

“Rezeki itu amat luas, wang juga boleh kita cari tetapi pahala seperti ini sukar untuk saya gambarkan melalui kata-kata sahaja. Pengalaman duduk bersama ‘team CSR Malik Streams’ dalam mencari setiap jemaah ini memang sesuatu yang saya tidak akan lupakan.

“Saya berharap program ini akan dapat saya lakukan setiap tahun dengan izin Tuhan malah dapat menggandakan lagi jumlah jemaah dari yang ada kini, Insya Allah. Anda semua doakan saya dan Malik Streams agar sentiasa dalam melakukan yang lebih baik dari ini.

“Seperti yang saya penah cakap sebelum-sebelum ini, apa yang saya kecapi ini juga harus dikongsikan kepada golongan-golongan seperti ini, ini bukan sahaja memberikan mereka sinar harapan sebaliknya juga kepuasan serta keinsafan kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja amal selagi yang saya mampu,” ujarnya.

Salah seorang jemaah yang cacat penglihatan, Awang Minai pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Keberangkatan Jemaah ke Tanah Suci Mekah di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2020.

Abdul Malik terkenal khasnya di India kerana pembikinan filem hero Kollywood, Rajinikanth pada 2016 yang masih lagi menjadi fenomena sehingga kini.

Selain itu, beliau juga aktif dengan syarikat hartanah serta memiliki perniagaan penggurup wang, Malik Maju Sdn Bhd., sejak 2007 dan mempunyai lima premis di Lembah Klang dan Johor Bahru. – MalaysiaGazette