Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin masih belum menjawab surat tunjuk sebab berhubung dakwaan salah laku disiplin yang telah dihantar kepadanya.

Malah, sepucuk surat yang turut dikeluarkan secara peribadi oleh Setiusaha Agung parti tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkenaan perkara sama juga masih belum berbalas.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika ditemui selepas menyampaikan amanat tahun baru kepada warga kementeriannya berkata, beliau tidak menerima apa-apa surat daripada Zuraida setakat ini.

Katanya, surat yang dihantar kepada Zuraida itu adalah ekoran Ahli Parlimen Ampang tersebut ada menyebut perkara fitnah melibatkan dirinya menerusi satu ucapan dalam sebuah majlis.

“Selain surat daripada Jawatankuasa Lembaga Disiplin saya juga ada satu lagi surat kepada Zuraida. Itu daripada saya bukan parti.

“Ucapan dia itu ada mengandungi beberapa unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya dan saya telah pun minta peguam saya untuk mengambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Saifuddin dilapor berkata, PKR telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida atas dakwaan salah laku disiplin.

Surat tersebut dikeluarkan dan dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Temptan itu pada 17 Januari lalu.

Malah, Saifuddin ketika ditemui media baru-baru ini turut menasihatkan Zuraida agar memberi tumpuan untuk menjawab tuduhan yang diterima daripada lembaga disiplin parti itu tanpa sebarang prasangka.

Beliau turut mencadangkan supaya Zuraida tidak membabitkan pihak lain dalam penjelasannya. – MalaysiaGazette