Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang kini berada di wilayah Wuhan dan Hubei di China akan dibawa pulang ke tanahair.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila memberitahu langkah membawa pulang rakyat Malaysia akan dibuat dengan kebenaran kerajaan China susulan wabak koronavirus yang melanda negara tersebut.

Bagaimanapun katanya, kesemua rakyat Malaysia itu akan dikuarantin terlebih dahulu dalam tempoh 14 hari sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Kita bincang dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke Malaysia,” katanya selepas mengadakan Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Dr Mahathir memberitahu, seramai 78 rakyat Malaysia masih berada di wilayah berkenaan dan belum dibawa pulang.

Ujarnya, perbincangan akan dibuat dengan China bagi membolehkan pesawat Malaysia memasuki kawasan itu.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, kerajaan turut membuat keputusan untuk tidak membenarkan pelawat dari kedua-dua wilayah di China itu masuk ke negara ini.

Jelasnya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat hari ini namun, pelawat dari tempat-tempat lain di negara berkenaan dibenarkan masuk ke negara ini.

Dr Mahatahir berkata, kerajaan juga bersedia untuk menyumbang keperluan kepada rakyat China yang terjejas.

Katanya, antara bantuan yang akan dihulurkan ialah penghantaran topeng muka dan sarung tangan untuk kegunaan semasa.

“Kalau mereka benarkan pesawat kita masuk, kita akan bawa masuk bekalan makanan dan topeng muka,” katanya. – MalaysiaGazette