Jerome Powell. foto Agensi

WASHINGTON – Wabak koronavirus dijangka akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi China, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

Malah, ia juga akan menjejaskan rakan perdagangannya di seluruh dunia.

Kesan penyebaran koronavirus yang dijangkiti lebih daripada 6,000 rakyat China dan mengorbankan lebih 130 nyawa sejak ia dikesan awal bulan lepas telah menjadi isu dalam persidangan Rizab Persekutuan menjelang pengumuman kadar faedah.

Ramai menjangkakan Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah semasa.

“Rizab Persekutuan sedang memantau situasi ini dengan berhati-hati,” kata Presidennya, Jerome Powell.

Setakat ini, kata Powell masih terlalu awal untuk menyatakan impak virus berkenaan ke atas Amerika Syarikat (AS) tetapi ia secara signifikan akan memberi kesan kepada ekonomi China.

Sebelum itu, ahli ekonomi Kerajaan China mengunjurkan penularan virus itu akan mendorong penurunan pertumbuhan suku pertama China sebanyak satu peratus mata kepada 5% atau lebih rendah.

Powell juga mengakui risiko, termasuk ekonomi AS akibat daripada sebarang kelembapan dalam ekonomi kedua terbesar dunia.

“Ekonomi China sangat penting dalam ekonomi global sekarang dan apabila ekonomi China lembap, kita merasakannya – tidak seperti negara-negara yang berdekatan dengan China, atau perdagangan lebih aktif dengan China, seperti beberapa negara Eropah Barat, ” kata Powell.

China telah mengenakan sekatan perjalanan dan menutup perniagaan dan sekolah dalam usaha untuk mengatasi wabak ini, tetapi ia tidak menghalang kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat dan kerajaan di seluruh dunia.

Syarikat penerbangan termasuk British Airways, United Airlines dan Lufthansa sedang mengurang atau menangguhkan penerbangan, pelancong membatalkan perjalanan, dan perniagaan termasuk Apple dan Starbucks memberi amaran tentang berpotensi impak kepada rantaian bekalan dan jualan mereka.

Starbucks telah menutup lebih daripada separuh jumlah kafe di China dan Walt Disney menutup pusat peranginan dan taman tema di Shanghai.

Manakala Alphabet Inc. menutup pejabatnya di China, Hong Kong dan Taiwan.

“Koronavirus itu mungkin mempunyai kesan negatif terbesar terhadap sektor barangan dan perkhidmatan di dalam dan di luar China yang bergantung pada pengguna China dan produk perantara,” kata penganalisis Moody.

Penilaian menunjukkan kesannya boleh lebih besar daripada wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang berlaku pada tahun 2002-2003, virus novel yang terakhir menyebabkan kebimbangan dunia.

Wabak itu mengakibatkan kira-kira 800 kematian dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Asia. Tetapi kesan keseluruhan pada ekonomi AS adalah terhad. – MalaysiaGazette