Agensi keselamatan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia, memantau rapat situasi semasa selepas Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra hari ini mengesahkan seramai 40 penuntut universiti di sekitar Beijing, China telah selamat pulang ke negara ini.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, kesemua mereka sudah menjalani saringan kesihatan di lapangan terbang ketika mendarat.

“Kesemua mereka kuarantin 14 hari di rumah masing-masing. Semua pelajar yang pulang telah diberikan garis panduan kesihatan yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” demikan menurut kenyataan itu.

Kesemua mereka pulang dalam keadaan sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Education Malaysia Beijing telah berhubung dengan mereka dan mendapatkan maklum balas tahap kesihatan.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, seramai 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya.

Mereka bagaimanapun bebas daripada jangkitan koronavirus.

Ia berdasarkan komunikasi pihaknya dengan rakyat Malaysia berkenaan menerusi penggilan telefon bagi meninjau perkembangan mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata, Putrajaya bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China bagi tujuan itu. -MalaysiaGazette