Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik akan kembali menggunakan bahasa Inggeris (BI).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengembalian semula BI itu bagi menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan itu menekankan pentingnya menguasai BI dan menambah bahawa kedua-dua mata pelajaran itu bukan “asal” kepada Malaysia.

“Geografi dan sejarah boleh datang dalam mana-mana bahasa tetapi sains dan matematik bukanlah bidang pengetahuan pribumi.

“Ia datang dari luar negara dan sebahagian besar datang kepada kita dalam BI. Oleh itu, kita akan menggunakan BI dalam pengajaran sains dan matematik,” katanya dalam pertemuan khas dengan kumpulan pengurusan di Kementerian Pendidikan semalam seperti dilaporkan hari ini.

Sebelum ini, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat namun ditarik semula oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Mahathir juga mengakui rakyat Malaysia mahu melihat pembaharuan dalam dasar pendidikan negara dan beliau mendapati beberapa kelemahan dalam dasar semasa yang memerlukan perhatian segera.

“Sudah tentu, pandangan saya tidak selalu popular atau diterima oleh ramai orang tetapi saya perlu menolak perkara tertentu bagi memastikan anak-anak kita membesar dan mendapati diri mereka mampu mengatasi masalah kehidupan apabila dewasa. Itulah tujuan pendidikan,” ujarnya lagi.

Mahathir memberi gambaran masyarakat majmuk di negara ini bak pedang bermata dua kerana boleh menyebabkan kemunduran tetapi juga berpotensi menyumbangkan pembangunan negara.

Malah beliau menambah bahawa perkembangan negara selama ini adalah hasil daripada “hubungan kerja yang baik” antara pelbagai kaum.

“Jika negara tidak stabil, jika ia sedang berperang, kita boleh melupakan pembangunan,” katanya.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.