SINGAPURA- Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot menggantung penerbangannya dari Singapura ke 11 bandaraya di China berikutan peningkatan wabak koronavirus.

Syarikat penerbangan tersebut turut mengurangkan penerbangannya ke lapan lagi bandar di negara berkenaan.

Langkah tersebut turut diikuti oleh syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan SilkAir yang akan mengurangkan kapasiti bagi laluan-laluan tertentu ke China pada Februari, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Scoot mengumumkan syarikat penerbangan itu akan membuat penyelarasan terhadap rangkaiannya di China, Hong Kong dan Macau disebabkan oleh penurunan permintaan dan kekakangan operasi akibat penularan virus yang berasal dari Wuhan itu.

Scoot akan menggantung penerbangannya dari Singapura ke Harbin, Hangzhou, Shenyang, Xian, Changsha, Nanchang, Zhengzhou, Ningbo, Jinan, Nanning dan Wixu dari awal Februari sehingga akhir Mac 2020.

Penumpang yang telah membuat tempahan penerbangan-penerbangan tersebut akan menerima pemulangan penuh menerusi kaedah pembayaran asal.

Kekerapan penerbangan ke lapan buah bandar iaitu Fuzhou, Guangzhou, Haikou, Kunming, Nanjing, Qingdao, Tianjin dan Macau akan dimulakan esok sehingga 2 Mac nanti.

Terdapat beberapa penerbangan Singapura- Guangzhou, Nanjing, Macau dan Hong Kong juga dibatalkan.

Para penumpang yang terlibat akan menerima emel daripada Scoot berserta maklumta lanjut berhubung pemulangan semula wang dan pilihan tempahan semula.

Sementara itu, SIA dan SilkAir dalam satu hantaran di Facebook hari ini mengumumkan syarikat penerbangan itu akan membatalkan beberapa penerbangan di antara Singapura ke Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Xiamen, Chengdu dan Chongging.

Penumpang yang terlibat akan dimaklumkan dan dibantu untuk mendapatkan penerbangan lain, kata SIA.

Ketika ini SIA mengendalikan 56 penerbangan seminggu ke Beijing, Guangzhou dan Shanghai manakala SilkAir mengendalikan 36 penerbangan seminggu ke Chengdu, Chongqing, Shenzhen dan Xiamen.-Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast