Sebanyak 42 kes baharu keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang, Baling telah direkodkan sehingga kini. - KP Kesihata, Datuk Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sehingga hari ini tiada pertambahan kes positif novel 2019-nCoV (koronavirus) sehingga jam 12 tengahari tadi..

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes koronavirus di negara ini kekal kepada lapan kes.

“Jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan kekal lapan kes iaitu tiga di kalangan Patient Under Investigation (PUI) dan lima di kalangan kontak rapat (close contacts).

“Jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah seramai 142 orang dan enam orang masih menunggu keputusan makmal.

“Kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV, kekal seramai 32 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, individu yang dikaitkan dengan kes koronavirus yang enggan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di sebuah hospital di Selangor juga mendapati negatif jangkitan koronavirus.

“Melalui siasatan yang telah dijalankan, pesakit tersebut adalah warganegara Malaysia dan mempunyai sejarah melawat Wuhan, China.

“Setelah pihak hospital membuat laporan polis, pesakit disyaki ini telah berjaya dikesan dan dimasukkan ke dalam wad untuk siasatan dan rawatan.

“Keputusan sampel klinikal yang diambil pada 31 Januari 2020, dilaporkan negatif 2019-nCoV,” katanya lagi.

Khamis lalu, seorang wanita warga China dikesan positif koronavirus di Hospital Permai, Johor.

Wanita berusia 49 tahun itu adalah isteri kepada lelaki warga China yang dilaporkan positif wabak sama sebelum ini. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.