KUALA TERENGGANU – Seramai 5.3 juta orang pelancong berkunjung ke Terengganu sepanjang tahun 2019, peningkatan 9.8 peratus berbanding tahun 2018 yang merekodkan kunjungan 4.8 juta pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata peningkatan itu memberikan sumbangan yang besar kepada pertumbuhan pendapatan negeri Terengganu.

“Walaupun sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) adalah 6.5 peratus sahaja, akan tetapi usaha dan sokongan padu dari semua pihak telah membuahkan hasil seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (APKT) 2018/2019 di Wisma Darul Iman, malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya kewujudan Jambatan Angkat atau ‘Drawbridge’ turut memberikan impak positif bagi industri pelancongan negeri yang mana sejak dibuka pada Ogos sehingga Disember 2019, ikon terbaharu Terengganu itu mencatatkan kedatangan 700,000 orang pengunjung.

Ariffin berkata selain optimis untuk mencapai kedatangan 5.5 juta pelancong pada tahun ini, kerajaan negeri melalui JPNT telah menyusun strategi bagi menjadikan Terengganu sebagai salah satu dari lima destinasi pilihan utama di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya antara insiatif yang diambil adalah menubuhkan Majlis Tindakan Pembangunan Pelancongan Daerah (MTPPD) dan Majlis Kebudayaan Daerah (MKD) bagi memastikan sektor pelancongan di Terengganu sentiasa relevan dengan kehendak semasa.

Majlis (APKT) 2018/2019 anjuran kerajaan negeri itu menyaksikan wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kamaliza Kamaruddin berjaya merangkul Anugerah Media Terbaik bagi Kategori Media Sosial menerusi penulisan beritanya bertajuk ‘Terrapuri Angkat Martabat Seni Bina Terengganu’.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast