Datuk Jamilah Sulaiman

KOTA KINABALU – Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jamilah Sulaiman hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu yang disertainya sejak 33 lepas.

Ketua Bahagian PBS Sindumin itu yang turut melepaskan semua jawatannya dalam parti berkata keputusan dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan penyokong PBS khususnya di bahagian Sipitang.

“Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletak semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS dan berhenti daripada menjadi ahli PBS.

“Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus J Ongkili,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, 17 daripada 18 Ahli Jawatankuasa PBS Bahagian Sipitang turut bersama-sama Jamilah mengisytiharkan keluar parti.- BERNAMA