Lebih 1,000 peserta melibatkan 15 kontinjen mewakili NGO, Surau, Sekolah dan wakil penduduk tidak melepaskan peluang menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Kariah Masjid Kampung Nakhoda ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Nakhoda, Batu Caves. Foto Hari Anggara, 6 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sambutan Maulidur Rasul 1448 peringkat kebangsaan tidak seharusnya terhenti pada perarakan dan acara tahunan semata-mata, sebaliknya nilai, akhlak dan sunnah Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, penghayatan Maulidur Rasul perlu melangkaui aspek peringatan semata-mata dengan menjadikan akhlak, nilai dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membentuk keluarga, masyarakat dan negara yang lebih harmoni serta sejahtera.

Menurut Jakim, tema sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M, “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, menyeru masyarakat menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam membina kehidupan yang maju, bersatu padu dan sejahtera.

“Maulidur Rasul SAW merupakan manifestasi kecintaan umat Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Kecintaan ini diterjemahkan melalui penghayatan terhadap sunnah, akhlak dan kepimpinan Baginda yang berteraskan amanah, keadilan, ihsan dan rahmah,” menurut kenyataan Jakim hari ini.

Jakim berkata, pemilihan tema itu mengambil inspirasi daripada semangat pembentukan masyarakat Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW, khususnya dalam membina masyarakat berteraskan akhlak, persaudaraan, keadilan dan tanggungjawab bersama.

Menurutnya, nilai berkenaan masih relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembentukan masyarakat harmoni, sejahtera, saling menghormati dan berpaksikan nilai.

“Pendekatan ini diharapkan dapat membawa penghayatan Maulidur Rasul SAW melangkaui aspek peringatan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui pengamalan akhlak, nilai dan sunnah Rasulullah SAW dalam membentuk keluarga, masyarakat dan negara yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Jakim memaklumkan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini akan berlangsung esok di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, bermula 7.30 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri dijadual hadir, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan menteri Kabinet serta dif kehormat lain.

Sambutan itu dijangka disertai 4,000 peserta daripada 100 kontinjen kementerian, agensi dan badan berkanun.

Jakim turut menegaskan sambutan tahun ini dilaksanakan secara sederhana dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat, namun kekal meriah, berprestij dan bermakna tanpa menjejaskan penghayatan serta objektif utama program dalam memperkukuh syiar Islam.

Kemuncak sambutan ialah Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 yang melibatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here