Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah bersama-sama lebih 300 peniaga di Tapak Uptown Danau Kota yang terjejas telah berhimpun secara aman di hadapan Kompleks Perdana Menteri sebelum menyerahkan nota bantahan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abu Bakar Yahaya di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Isu peniaga Uptown Danau Kota nampaknya belum selesai.

Hari ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) bersama-sama 315 peniaga terbabit yang telah hilang mata pencarian merayu campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka berkumpul di Jabatan Perdana Menteri beramai-ramai dan mahu Mahathir menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, atas dasar membela nasib peniaga pihaknya mendesak agar satu solusi konkrit dapat dicapai untuk membantu peniaga terjejas yang juga ahli pertubuhannya.

Lagipun, katanya, Mahathir sendiri merupakan penaung kepada Ikhlas.

“DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus menghalang tindakan mana-mana individu yang berkepentingan daripada terus cetus provokasi terhadap kalangan peniaga tercicir, seterusnya memangsakan lebih 300 peniaga terjejas.

“Memandangkan isu ini telah berlarutan, maka kami ingin merayu Tun tampil campurtangan supaya ia selesai dalam situasi menang-menang sementara menunggu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Kementerian Wilayah Persekutuan mencari satu kaedah untuk menyelesai isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam demontrasi aman  350 peniaga Uptown Dana Kota di hadapan Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyerahkan memo bantahan terhadap isu tersebut kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahaya.

Menurut Mohd Ridzuan, lebih 320 peniaga yang terbabit didakwa hidup dalam kesusahan akibat tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew yang dikatakan campur dan  mengganggu urusan penempatan semula tapak perniagaan di kawasan itu.

“Sekali lagi Ikhlas merayu supaya mereka diberi peluang untuk meneruskan perniagaan mereka tanpa dihalang mana-mana pihak di tapak asal. Ikhlas juga ingin cadangkan hak penganjuran dikendali oleh pihak DBKL buat sementara waktu,” katanya.

Menurutnya, bancian permindahan peniaga yang dibuat DBKL telah ditolak oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju kononnya tidak telus dan telah mencadangkan Syarikat Invoke Solution Sdn.Bhd syarikat milik Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli  untuk lakukan bancian.

“Ini jelas wujud campur tangan politik dalam isu ini hingga memangsakan ratusan peniaga yang merupakan rakyat kelompok B40 wajar dibela,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar ketika mengulas isu berkenaan berjanji akan turun padang dan mengenalpasti isu berkenaan dan  tampil dengan solusi terbaik.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nampaknya PM kena buat semua kerja lah macam ini sebab menteri menteri semua gagal menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan walaupun dibayar gaji belasan ribu sebulan. PM tu dah lah tua , nak berdiri tu pun kadang kadang mengigil-gigil. Hai !!! teruk lah macam ini.

Comments are closed.