Dr. Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur sesetengah media yang menyalahtafsir kenyataannya dengan membuat ayat sendiri berhubung Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat yang berpakaian seperti wanita ketika berada di tanah suci ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.

Dalam satu entri di Facebook, beliau menegaskan tidak pernah mengecam atau mengkritik ahli perniagaan itu sebaliknya hanya menyatakan jangan melaknat Sajat secara peribadi.

Katanya, Islam melaknat perbuatan tapi tidak melaknat individu secara mutlak melainkan mereka yang pasti dilaknat secara khusus seperti iblis dan Firaun.

“Kemudian, cara kita hebohkan tindakan beliau pakai telekung itu mungkin menjadi promosi percuma kepada diri dan produknya. Padahal, satu isu lekeh yang dilakukan untuk mempromosikan diri.

“Akhirnya, banyak pondan dan dara dalam negara kita yang kita biarkan. Bahkan kita raikan aksi-aksi mereka dalam filem dan karya.

“Tiba-tiba sahaja kita bising setelah dia (Sajat) pakai telekung di Mekah. Kita patut bantah sejak di Malaysia lagi,” demikian posting beliau.

Menurut Asri, kerajaan juga sepatutnya menggesa supaya mengharamkan aksi-aksi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disiarkan di media di negara ini.

Apapun, mereka semua dan kita memerlukan doa hidayah agar ditunjukkan jalan yang Allah redhai.

Sebelum ini, media melaporkan Asri dipetik sebagai berkata, beliau terkilan dengan tindakan orang ramai terus dan mengatakan bahawa Muhammad Sajad dilaknat Allah, adalah satu tindakan yang tidak tepat dari segi agama.

Katanya, Muhammad Sajad perlu dinasihati secara baik berhubung tindak tanduk yang dilakukan tanpa terus meletakkan prasangka untuk menghukumnyanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nasihat Sajat secara baik, jangan terus hukum – Mufti Perlis