Mesej yang ditularkan di media-media sosial.

KUALA LUMPUR- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan terlibat dalam Pemberian Geran Kerajaan Persekutuan Malaysia dengan Bank Dunia melalui Agensi Penambahbaikan Rumah Malaysia seperti yang tular di media-media sosial.

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, KPKT menegaskan geran kerajaan lazimnya tidak diberi kepada individu sebagai hadiah peribadi.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk berhati-hati jika dihubungi oleh individu atau agensi yang tidak dikenali yang menyatakan mereka layak untuk mendapatkan bantuan.

Ini bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

“KPKT telah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam mengenai penawaran geran ini yang menawarkan bantuan kewangan termasuklah membantu untuk mendapatkan rumah.

“Modus operandi ini secara umumnya dibuat menerusi mesej atau posting di media sosial yang memaklumkan mengenai pemberian geran oleh pihak kerajaan Malaysia yang memberi bantuan kepada mangsa terutamanya kepada golongan pesara, warga emas, orang kelainan upaya (OKU).

“Dana geran ini menjanjikan pemberian bantuan bagi tujuan perniagaan dan juga kegunaan peribadi untuk menyelesaikan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa.

“Mangsa juga seterusnya perlu mendedahkan maklumat peribadi mereka dan membuat pembayaran yuran pemprosesan kepada individu/akaun tertentu bagi membolehkan mereka menerima bantuan berkenaan,” katanya.

Sebarang aduan dan pengesahan maklumat yang berkaitan boleh dibuat melalui email: [email protected] / [email protected] / atau melalui sistem https://aduan.skmm.gov.my atau telefon di talian 03- 8000 8000. – MalaysiaGazette