Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bersumpah pada Mahkamah Tinggi yang beliau tidak pernah meminta suapan dan tidak mengetahui mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

Membela dirinya, Najib berbuat demikian di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika pemeriksaan balas ketua pasukan pembelaannya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Sebagai seorang Islam, wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak pernah meminta suapan dan saya tidak tahu bahawa RM42 juta disalurkan ke akaun saya pada masa itu,” katanya.

Dakwaan mengatakan dirinya menerima suapan adalah tidak berasas apatah lagi beliau sedar tindakan tersebut sudah tentu akan dapat dikesan.

“Terdapat keterangan tanpa bukti yang sah mengatakan saya menerima rasuah tapi perincian tidak dinyatakan, sebab ia tidak pernah berlaku.

“Ia tidak pernah berlaku dan untuk mencadangkan bahawa sebagai perdana menteri saya terlibat dalam sesuatu seperti itu adalah tidak munasabah.

“Dan saya katakan, saya tidak begitu bodoh untuk meminta suapan seperti itu dan yang boleh dikesan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Hakim Mohd Nazlan pada 11 November 2019 memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana berjumlah RM42 juta setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudian memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang bermakna beliau akan disoal balas oleh pendakwaan.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Perbicaraan yang merugikan masa,wang dan tenaga kerajaan sahaja, perkara boleh selesai di luar mahkamah, sepatutnya suruh sahaja Najib bayar balik wang yang secara tak sengaja di ambil itu. Setakat 42juta dibandingkan dengan duit 1000juta duit yang dia boleh dapat dari kawan-kawan Arab, dia masih lagi ada 958juta. Negara pun tidak merugikan masa para hakim hendak bicara perkara yang tiada ketentuaan.

  2. Semasa saya belajar dan kerja diarab saudi Sumpah perkara biasa seorg buleh sumpah 10 kali sehari tapi dia ttp berbohong , kebenaran dgn fakta bukan dgn sumpah ,kalau fakta dah bercanggah tunggu lah penghakiman melainkan berlaku perkara mukjizat yg buleeh melepaskan bijan dari hukuman..

Comments are closed.