Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO memulakan prosedur saman ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung tuduhan terhadap sayap parti itu mencetuskan huru hara dalam satu programnya di Ulu Tiram, Johor Sabtu malam.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peguamnya Nik Saiful Adli telah menghantar notis tuntutan permohonan maaf atas kenyataan fitnah Ketua Armada PPBM itu, semalam.

Kata beliau, jika Syed Saddiq gagal menjawab notis itu dalam tempoh tiga hari, maka notis saman pula akan menyusul.

Notis tuntutan maaf dihantar kepada Syed Saddiq sebagai permulaan proses saman atas fitnah terhadap UMNO.

“Seperti yang dijanjikan, petang tadi Pemuda UMNO Malaysia melalui peguam kami, Nik Saiful Adli  yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia telahpun memulakan prosedur saman ke atas Syed Saddiq.

“Proses itu dimulakan dengan menghantar notis tuntutan permohonan maaf atas kenyataan fitnah beliau di laman Facebook yang mengaitkan UMNO dengan insiden lari lompat pagar meninggalkan ibu dan penyokongnya di Johor baru-baru ini.

“Kegagalan kamu wahai Syed Saddiq menjawab notis ini dalam tempoh tiga hari, maka notis saman pula akan menyusul. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berikutan tuduhan menteri itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah telah membuat laporan polis dan meminta disiasat mengikut Selsyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salahguna kemudahan komuniksai untuk sebaran maklumat jelik.

Artikel berkaitan: UMNO tidak teragak-agak untuk saman Syed Saddiq

Menurut Dr. Asyraf, Ketua Armada itu sesuka hati memetik nama UMNO konon menyebabkannya lari lompat pagar, meninggalkan ahli keluarga dan pengikutnya akibat huru hara yang dicetuskan sekumpulan anak muda. – MalaysiaGazette