Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) didakwa mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab apabila meminta pihak lain menanggung kos rawatan dialisis bagi pencarum yang menjadi pesakit buah pinggang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sekian lama Perkeso sanggup membayar kebajikan pekerja dan mengapa tiba-tiba di bawah Malaysia Baharu kebajikan pencarum diabaikan begitu sahaja.

Apakah, Perkeso sudah lupa objektif sebenar atau sudah lupa kedudukan Perkeso hari ini adalah hasil sumbangan puluhan juta pencarum setiap bulan, soal beliau.

Tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, tanggungan Perkeso bagi pencarum yang menjalankan rawatan dialisis tidak mungkin memufliskannya.

“Lihat Laporan Tahunan Perkeso 2017, mana mungkin 16,321 orang pencarum Perkeso yang menjalankan rawatan dialisis yang menelan perbelanjaan RM215.81 juta (setakat 31 Dis 2017) akan memufliskan Perkeso?

“Ianya sekadar 9.14% daripada jumlah bayaran faedah kepada pencarum,” ujarnya sambil mempersoalkan sama ada Perkeso hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Takkan golongan profesional Perkeso tidak dapat mencari kaedah lain untuk menambah sumber kewangan Perkeso melalui pelaburan strategik yang membawa keuntungan?,” sindirnya.

Lantaran itu, beliau mencadangkan mana-mana Ahli Lembaga Pengarah Perkeso dan golongan profesional dalam Perkeso yang begitu prihatin tentang keuntungan supaya segera berundur dan menyertai syarikat milik kerajaan yang memperoleh keuntungan besar dalam operasi perniagaan.

Ka Siong turut menempelak Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang sehingga kini belum membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini.

“Kenapa Menteri berdiam diri? Sila baca Infografik Pendapatan & Perbelanjaan Perkeso setakat 31 Disember 2017, jelas menunjukkan bahawa pendapatan lebih daripada perbelanjaan. Apa maksudnya?

“Menteri Sumber Manusia jangan membisu lagi!,” katanya sambil mengingatkan Perkeso baru sahaja membelanjakan RM500 juta untuk membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang canggih di Ipoh Barat, kawasan Parlimen menteri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MTUC bidas tindakan Perkeso nafi dialisis percuma