Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Perhubungan AmBank, Krystle Yap Wy-Sze secara peribadi tidak pernah mengetahui jumlah wang yang akan masuk ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Malah menurutnya, tidak ada amaran mencurigakan tentang kemasukan sejumlah wang ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu.

Jelas beliau ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, ini kerana kemasukan wang tersebut mempunyai dokumen sokongan.

Sithambaram: Anda memang tahu tentang ini (kemasukan wang)?

Krystle: Tidak.

Beliau memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini sebagai pasukan yang pernah terlibat dalam menguruskan tiga akaun milik Najib.

Saksi kedua daripada pihak pembelaan itu berkata, beliau adalah seorang junior dalam pasukan AmBank yang bertindak atas arahan Joanna Yu yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan syarikat perbankan tersebut.

Krystle yang pada masa merupakan ahli pasukan paling junior  menguruskan akaun Najib menambah, beliau berhubung dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil atas urusan kerja sahaja, namun hanya menerusi e-mel.

Bekas Pegawai Perhubungan AmBank itu selesai memberi keterangannya pada prosiding hari ini.

Pihak pembelaan kemudian memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah akan memberi keterangan bagi pihak pembelaan esok. – MalaysiaGazette